Kuliah Al-Quran wa Ulumihi bi Tanta

SEJARAH RINGKAS PENUBUHAN


                  Kuliah Al-Quran dan Qiraat ditubuhkan pada 1991 di Tanta, Mesir. Namun pengajiannya bermula pada sesi 1992/1993. Pada peringkat permulaan, kuliah ini hanya menerima kemasukan kurang daripada 200 orang mahasiswa, tetapi jumlah ini semakin meningkat tahun demi tahun ekoran sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat Mesir sendiri juga kemasukan pelajar-pelajar wafidin yang terdiri daripada rakyat Malaysia, Indonesia dan Afrika. Kuliah ini merupakan kuliah yang tunggal yang tiada di mana-mana tempat selain di Tanta dan juga kuliah Al-Quran yang ketiga di dunia selepas Kuliah Al-Quran di Madinah, Arab Saudi dan Kuliah Al-Quran di Islamad, Pakistan.
                  Walau bagaimana pun, berbanding dengan kuliah-kuliah Al-Quran yang lain, kuliah ini merupakan kuliah yang menawarkan pengajian Al-Quran yang tertinggi khasnya pengajian yang berkaitan dengan ilmu Al-Qiraat.
                  Tujuan sebenar penubuhan kuliah ini adalah untuk menumbuh suburkan ilmu-ilmu yang berkaitan secara langsung dengan Al-Quran amnya dan khususnya ilmu Al-Qiraat di Mesir yang terkenal zaman berzaman dengan ulama-ulama dan para Qurra yang tidak terbilang ramainya, atau dengan kata-kata lain bagi mengeluarkan ulama-ulama Qiraat demi memastikan keagungan dan kesucian Al-Quran sentiasa terjaga.
                  Penubuhan kuliah ini membuktikan kesungguhan Al-Azhar yang merupakan kiblat ilmu-ilmu Islam dalam memastikan kesyumulan Islam sentiasa dihayati oleh umatnya bukan hanya di Mesir bahkan di seluruh dunia. Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmatNya kepada para ulama yang ikhlas berjuang mendidik anak-anak Azhari tanpa mengira bangsa dan warna kulit.

SYARAT-SYARAT KELAYAKAN


Mempunyai atau memegang Syahadah Takhassus Qiraat daripada Maahad Qiraat di Mesir tanpa mengira peringkat umur dan tahun syahadah tersebut diperolehi.

SISTEM AKADEMIK


Tempoh pengajian di kuliah ini adalah 4 tahun (8 semester). Setiap tahun pengajian terbahagi kepada 2 semester. Kehadiran ke kuliah adalah diwajibkan dan hanya 75% kehadiran yang melayakkan seseorang pelajar itu mengambil peperiksaan.

PENGKHUSUSAN 

Kuliah ini terbahagi kepada dua pengkhususan:

1. Pengkhususan ilmu-ilmu Al-Quran.
2. Pengkhususan ilmu-ilmu Al-Qiraat.

SUBJEK-SUBJEK


Subjek-subjek yang berkaitan dengan ilmu-ilmu Al-Quran adalah seperti berikut:

1. Ulum Al-Quran
2. Manahij Al-Mufassirin
3. Tafsir Al-Quran
4. Sejarah Mushaf
5. I'jaz Al-Quran
6. Ilmu Ad-Dalalat (semantik)
7. Tatabahasa (Nahu dan Saraf) serta I'rab Al-Quran
8. Ilmu Ad-Difau'an Al-Matai'n (ilmu menangkis tuduhan-tuduhan terhadap Al-Quran).

Manakala subjek -subjek yang berkaitan dengan ilmu-ilmu Al-Qiraat adalah seperti berikut:

1. Teori ilmu Al-Qiraat
2. Praktikal ilmu Al-Qiraat
3. Sejarah ilmu Al-Qiraat
4. Taujih Al-Qiraat
5. Ilmu Al-Aswat (Fonologi) dan Al-Lahajat (Dialek)
6. Ilmu Al-Waqf wal-Ibtida'
7. Ilmu Ar-Rasm Al-Uthmani
8. Ilmu At-Tahrirat
9. Al-Qiraat As-Syazzah.

Disamping itu subjek-subjek lain yang turut dipelajari:

1. Ilmu Fiqh
2. Ilmu Al-Aqidah
3. As-Sirah An-Nabawiyyah
4. Al-Hadith wa U'lumuh.
5. Bahasa Inggeris

KAJIAN-KAJIAN SETIAP SUBJEK


1. Penghafalan Al-Quran.
          Peperiksaan Al-Quran dijalankan secara bertulis dan lisan serta menumpukan penguasaan terhadap ayat-ayat mutasyabihat iaitu ayat-ayat yang hampir serupa dan mengelirukan.

2. Ilmu Al-Qiraat (Teori dan Praktikal).
          Kajian terhadap Qiraat yang tujuh dan sepuluh (Usul dan Farsh) melalui matan dan syarah. Perbezaan dengan apa yang pernah dipelajari di maahad adalah penguasaan kitab-kitab Turath yang lebih meluas dengan kajian-kajian yang lebih mendalam daripada segi turuq yang banyak.

3. Sejarah ilmu Al-Qiraat.
          Kajian yang menyentuh asal usul kewujudan Al-Qiraat dan kajian-kajian para ulama silam terhadap ilmu ini.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sejarah Imam-Imam Qiraat

Pantun Seloka Aurat