Benarkah al-Quran mempunyai 6666 ayat?
Mungkin dikalangan kita sering terdengar sesetengah orang Melayu Islam menyatakan bahawa jumlah ayat di dalam al-Qur’an adalah enam ribu, enam ratus, dan enam puluh enam (6,666). Angka itu manis disebut, senang diingat, dan sedap didengar. Kadang-kadang orang yang menyebutnya itu bukan sebarangan orang, ustaz-ustaz, penceramah dan tuk imam. Namun begitu, bukan semua yang sedap didengar dan senang diingat yang dikeluarkan daripada mulut yang manis itu benar. Haruslah diperiksa dahulu sebelum menerimanya bulat-bulat. Apatah lagi kalau ia mengenai agama kerana syaitan juga boleh berbuat demikian. Firman Allah S.W.T di dalam surah al-An’am ayat 112 yang bermaksud: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan (dari kalangan) manusia dan (dari kalangan) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia). Jika Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalka...