Dunia Jambatan Akhirat

"Dunia adalah jambatan akhirat"

Ini adalah kata-kata hikmah yang bermaksud kehidupan di dunia yang sementara ini perlu dimanfaatkan untuk kepentingan akhirat. Ada Hadis yang menyebut bahawa daripada lbnu ‘Umar RA beliau berkata;

"Rasulullah SAW telah memegang bahuku lantas bersabda: Hiduplah engkau di dunia seolah-olah engkau seorang perantau atau musafir lalu."

Daripada lbnu ‘Umar RA juga pernah berkata;

"Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang. Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu."

Hadis di atas menerangkan bahawa kehidupan di dunia adalah kehidupan sementara, akhirat jua yang kekal abadi. Kerana itu, manusia diminta agar mengambil berat soal akhirat tanpa meninggalkan kepentingan dunia seumpama seorang musafir atau pedagang yang hanya membawa barang keperluan semasa dalam perjalanan, tanpa membawa semua barang-barang. 

Ramai di kalangan orang Islam masih beranggapan bahawa Islam yang diturunkan hanya semata-mata membawa amalan ibadat sahaja. Ini adalah pemahaman yang salah terhadap konsep Islam. Agama Islam diturunkan dengan syumul, yang membawa syariat lengkap dan menyeluruh serta meliputi segala aspek kehidupan manusia di dunia seperti politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Islam merupakan ajaran yang mengatur manusia dalam setiap peringkat hidupnya dari semasa kecil hingga dewasa. Ia juga sebagai panduan manusia dalam mengatur urusan hidup yang meliputi panduan rohani dan jasmani. 

Dari sudut rohani, Islam mewajibkan ibadat-ibadat seperti solat, puasa, menunaikan zakat dan haji sebagai bekalan untuk menuju ke hari akhirat. Manakala dari sudut jasmani pula, Islam menekankan pemakanan yang halal dan baik untuk kesihatan di dunia ini.

Selain itu, Islam juga menyusun hubungan manusia dengan Allah SWT, mengatur manusia sesama manusia dan manusia dengan alam sejagat bagi memakmurkan dunia. Tambahan pula, kesyumulan Islam memenuhi tuntutan dan keperluan fitrah manusia.

Secara kesimpulannya, kehidupan di dunia yang diatur baik oleh kesyumulan Islam harus diikuti sebagai jaminan untuk kehidupan yang baik di akhirat kelak. Dunia tidak perlu ditinggalkan malah dijadikan sebagai jambatan untuk menuju ke alam yang abadi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sejarah Imam-Imam Qiraat

Pantun Seloka Aurat

Kuliah Al-Quran wa Ulumihi bi Tanta