Pegangan Tauhid Bagi Seorang Muslim

Seseorang muslim yang berpegang dengan tauhid dalam kehidupan mempunyai banyak cabaran dan halangan sama ada dari segi luaran atau dalaman. Antara cabaran dalaman yang ditempuhi ialah kelemahan iman dalam diri. Iman merupakan paksi kepada tauhid. Sekiranya iman lemah, maka hubungan tauhid dengan Allah SWT menjadi rapuh dan ia mengakibatkan kehidupan tersasar ke jalan kesesatan.

Selain itu, godaan syaitan dan hawa nafsu juga merupakan faktor yang menghalang pembentukan tauhid. Hal ini kerana syaitan tidak akan berhenti daripada menghasut manusia menyekutukan Allah SWT. Tambahan pula, nafsu yang secara semulajadinya cenderung kepada keseronokan dunia yang tidak dikawal dengan ilmu dan iman, maka ia mempengaruhi kehidupan tanpa tauhid kepada Allah SWT.

Pun begitu, kejahilan diri terhadap ilmu agama adalah cabaran utama dalaman. Sering kali sesetengah muslim hanya menitikberatkan tentang ilmu pengetahuan dunia sehingga mengabaikan pendidikan agama yang merupakan tunjang kekuatan tauhid. Ia menyebabkan kita tidak mengetahui atau kurang jelas matlamat kehidupan.

Cabaran luaran yang mempengaruhi tauhid seseorang Muslim ialah amalan adat dan budaya yang bercanggah dengan syariat Islam. Kebanyakan masyarakat terlalu berpegang dengan adat yang syirik dan khurafat. Ia mengakibatkan perlaksanaan syariat Islam secara menyeluruh terhalang.

Di samping itu, serangan pelbagai ideologi kuffar berleluasa pada zaman moden ini. Sekularisme, kapitalisme, liberalisme dan lain-lain telah menguasai sebahagian daripada pemikiran umat Islam sehingga mereka menganggap syariat Islam sudah tidak relevan untuk dilaksanakan serta tuntutan tauhid kepada Allah SWT tidak dapat dipenuhi.

Saya menganggap perkara-perkara yang disebutkan di atas sebagai cabaran kerana ia menjadi penghalang kepada pembentukan tauhid dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sejarah Imam-Imam Qiraat

Pantun Seloka Aurat

Kuliah Al-Quran wa Ulumihi bi Tanta